Home Aktiviti Taska Lemon Aktiviti Harian Kerana Enam Puluh Ringgit

Tweet

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday1
mod_vvisit_counterYesterday0
mod_vvisit_counterThis week1
mod_vvisit_counterLast week0
mod_vvisit_counterThis month1
mod_vvisit_counterLast month0
mod_vvisit_counterAll days6983312

We have: 1 guests online
Your IP: 54.156.92.243
 , 
Today: Nov 18, 2017
 

facebook

Kerana Enam Puluh Ringgit
Aktiviti Taska Lemon - Aktiviti Harian
Written by kalamruncing   
Thursday, 22 October 2009 22:43

Kerana Enam Puluh Ringgit

Anaknya berusia empat tahun. Hanya dengan menonton si cilik itu bermain sudah cukup menenangkan.

Hari itu beberapa kali telinganya merah dek perli bos yang berhidung kembang itu. Dalam hatinya terdetik “aku berhenti sekarang jugak, baru tahu…”. Tapi dia sentiasa semat pesan isteri manisnya di hati supaya jangan peduli mulut pedas sebegitu. Kata orang tuanya, ikut rasa binasa, ikut hati tiada kerja.

 

Cukup jam lima setengah, tidak lagi dia tunggu. Beg terus dicapai menuju ke kereta proton saga birunya. Tersenyum dia sorang-sorang. Ketawa dan ngilai anak kecilnya itu bermain di kepala. “Fokus, fokus…” bisiknya perlahan bila kereta hampir melanggar lampu merah. “Sabarlah nanti ambil anak dari taska, mainlah sungguh-sungguh. Sekarang fokus kat jalan tu…” marah manja isterinya beberapa hari lepas. Dia tersengih lagi.

Dua buah hati.

 

Jika tiada mereka mungkin dunianya terlerai. Jika tiada mereka sudah diikutkan hati geramnya. Jika diikutkan geramnya sudah lama dia berhenti. Biar bosnya terkulat-kulat bila dia ghuyup serta merta. Biar isi komputer pejabatnya dipadam semua fail.

“Baru padan muka dia. Memang kadang-kadang aku hantar laporan terlambat. Bukannya sengaja. Printer selalu rosak. Orang lain kalau kertas tersekat, bukannya nak tarik keluar.  Selalu bos tanya pasal apa datang lambat? Nak buat macam mana, jalan sesak. Ini salah JKR lah. Buat jalan tak cerdik. Tensyen aku…”.

“HOOoooOON” tersentak dia sekali lagi. Rupanya lampu dah hijau.

 

Keretanya berhenti di satu petak pakir blok B. Entah kotak pakir siapa. “Mesti orang ni nasib tak baik…orang nak ambil anak semua tumpang parking sini. Aku sekejap aja”.

Dia berlari anak mendaki ke tingkat dua flet enam tingkat itu, takut dikenakan OT. Pintu bertutup rapat. Tiada papan tanda pusat asuhan. Semua anak-anak di situ anak-anak rakan-rakannya atau kenalan-kenalan mereka. Kasut kanak-kanak pun tak diletak di luar. Kalau tidak mungkin berselerakan dua puluh lima pasang kasut-kasut comel.  

 

Pintu diketuk. “SEKEJAP!” terdengar sayup suara pengasuh dari dalam. Memang itulah perkataan setiap hari, “KEJAP!”. Sekejap di situ tidak menentu. Kadang-kadang dua minit. Kadang-kadang lima minit. Selalu juga dia kena ketuk kali kedua selepas sepuluh minit sebelum pintu dibuka. Mungkin mereka terlupa ada orang di luar. Tetapi tidak mengapa. Dia puas hati dengan penjimatan enam puluh ringgit sebulan berbanding dengan taska yang sebelum ini, taska Buah.

“Pengasuhnya pun bukan orang lain. Asalnya pengasuh terlatih bertahun-tahun dari taska Buah tu juga... Apa kurang taska baru ini? Pengasuh dilatih dari tempat yang sama. Apa yang dibuat di sana, di sini pun dia boleh buat. Memanglah nama tak sama…tapi enam puluh ringgit sebulan, banyak tu…” teringat dia hari dikeluarkan anak tunggalnya itu dari taska Buah.

Isterinya membantah lembut. “Tapi taska baru ni atas flet bang, tingkat dua pulak tu. Saya risau keselamatan, sempit…  “.

Belum sempat menghabis ayat, dia memotong “…kita kena tolong yang baru ni. Kan anak kita selesa dengan pengasuh yang buka taska baru tu…”.

Isterinya faham sangat untuk tidak meneruskan bantahan sebelum arang jadi bara. Tetapi jauh dihatinya lebih rela berkorban enam puluh ringgit sebulan itu demi ketenangan fikiran dan kesempurnaan perkembangan pemanis hatinya.

 

Tiba-tiba pintu berkeriuk. Tertampar keriuhan dari dalam sampai ke telinganya. Rupanya pintu itu satu penebat bunyi yang amat baik. Sebaik di buka riuh-rendah seperti tom-tom-bak. Lima enam orang anak-anak sedang menonton ‘spongebob’ di televisyen. Yang lain ada yang berkejar-kejar, bergusti, berkumpul bercerita sesama sendiri. Yang perempuan mungkin di dalam satu bilik yang tertutup, tidur agaknya.

“Amin! Balik” Jerit si pengasuh. Rupanya anaknya sedang tidur. Tidak pula dia perasan tadi. Dalam keriuhan anak-anak lain berlari berkejaran, tak ternampak pula dia di sudut mana anaknya beradu. “Kejap ya.”  Pesan si pengasuh lalu ditutup semula pintu. Mungkin takut kanak-kanak yang terlalu aktif lari bertempiaran keluar. Seminit kemudian anaknya di bawa keluar dengan muka yang baru dibasuh. Mata masih sembab. Namun melihat kelibat bapanya, terus ia mencapai kasut dan menarik tangan bapanya pergi.

 

Seperti biasa tempat yang dituju adalah taman permainan. Melepas gian nampaknya si kecil ini. Maklumlah di taska agak sempit. Dua puluh lima kawan-kawan berkongsi tapak sebesar tiga gelanggang tinju. Mana nya tempat menggelungsur, tempat berjongkang-jongkit, ruang berlumba lari, main aci-duduk, galah panjang, rounders, guli, gasing. Jika terlalu aktif pasti terpijak tangan atau tersadung kaki kawan-kawan. Cikgu pengasuh pulak pasti mengomel tak henti selagi kawan yang terpijak meraung menagih perhatian.

Lima enam kawan-kawan taskanya yang tinggal di kawasan sama mengheret bapa dan ibu masing-masing datang. Nampaknya mereka tekun bermain gelungsur dan segala yang boleh dipanjat tanpa mempedulikan sesama sendiri. Sudah seharian mereka mengadap wajah masing-masing. Mungkin masa tak panjang ini tidak mahu disiakan. Mengecapi nikmat bermain permainan taman itu satu keutamaan. Masa yang ada cuma setanak nasi setiap hari sebelum matahari bersembunyi.

 

Dia tidak melepaskan peluang memerhati anaknya bermain. Walaupun berseorangan, Amin tampak amat gembira sambil mengumpul kepuasan. Setiap permainan diulang berkali-kali. Dia tahu bila-bila masa bapanya akan bangun dan mengajak pulang.

Jam di tangan dijeling. “Mungkin boleh diberi lima minit lagi…" detik hatinya. Melihat anaknya gembira-puas juga memuaskan perasaannya sendiri. Desing-desing telinga ankara mulut pedih bos tadi kian hilang. Keriangan anaknya mengubat semua itu.

 

Dari jauh dia nampak kelibat keluarga Shafie. Baru balik kerja agaknya. Anaknya, Maslin, sebaya Amin. Dahulu mereka sama-sama di taska Buah. Tetapi Shafie tak mahu berpindah. “Ish…tak nak lah. Kesian budak-budak.” Suara garau Shafie menghentikan perbualan apabila diajak dahulu.

Tiba-tiba Amin tinggalkan permainannya lalu lari mendapatkan Maslin. Dari jauh nampak Amin ghairah bertanya. Maslin pula bercerita dengan semangat.

Perlahan-lahan dia hampiri, memasang telinga. Dia tahu anaknya seorang yang pendiam. Lebih banyak memerhati dari bertutur. Tetapi kali ini aneh. Nampak dia bersungguh-sungguh ingin tahu. Cerita-cerita itu pula nampaknya lebih menarik dari semua permainan di taman permainan itu. Tambahan pula masa bermainnya hampir tamat.

Rupa-rupanya Maslin bercerita tentang aktivitinya di taska Buah. Apa Cikgu masak untuk makan pagi. Siapa ketua senaman di laman petang tadi. Siapa juara hafal surah minggu ini. Siapa wakil taska untuk pertandingan membaca buku, pertandingan hafazan, pertandingan nasyid. Siapa bintang paling banyak. Siapa paling laju baca buku ‘ladybird’. Maslin menyambung-nyambung ceritanya seolah-olah tiada masa menarik nafas. Mata Amin bulat memberi tumpuan, ibarat mendengar Pawang Ana menglipur lara.

 

Bapa Amin tidak terkata, terkedu. Ternyata dia salah perkiraan. Kerana enam puluh ringgit, Amin menanggung rindu. Enam puluh ringgit itu meragut peluang si comelnya berkembang dengan sempurna. Menyempitkan dunianya. Mencantas semangat yang sedang tumbuh. Mengurung potensinya.

Tiba-tiba dia sebak. Dia sayang enam puluh ringgit wang keringatnya, tetapi dia lagi sayangkan anaknya. Dia tekad. Enam puluh ringggit tidak akan menghalangnya lagi dari memberi yang terbaik bagi Amin. Malah lebih lagi dia sanggup. Dia tekad. Tekad.

 

Hari Isnin nanti akan disuruh isterinya menyorong pipi ke taska Buah, memohon tempat semula untuk Amin tersayang. Harap-harap mereka tidak memulangkan paku buah keras.

Comments
Search RSS
Admin   |203.82.79.xxx |2009-10-23 18:20:43
Di harap penulis cerpen ni, kalamruncing, berhubung dengan Puan Suhaila di
019-3544672 secepat mungkin.
Only registered users can write comments!

3.26 Copyright (C) 2008 Compojoom.com / Copyright (C) 2007 Alain Georgette / Copyright (C) 2006 Frantisek Hliva. All rights reserved."

Last Updated ( Friday, 23 October 2009 09:02 )